amrul

•April 21, 2008 • Leave a Comment

Anak itu – yang aku panggil Amrul – jalannya mengesot. Kaki kanannya tempang dalam usia semuda itu. Aku kira, usia dia hanya sembilan tahun. Terlalu muda untuk menanggung derita sebegitu.

Aku punyai rasa ini – setiap anak-anak jalanan ditengah Kuala Lumpur menyimpan seribu satu kisah yang tak terungkapkan. Ia juga tak akan terhapus dari kotak memori mereka.

Amrul kata dia terjatuh. Dari paha kanan itu dapat dilihat kesan luka yang dalam. Ada bekas darah pada balutan putih yang sudah kotor. Mungkin, bagi sesetengah orang elit, Amrul sudah sampai ke tahap menjijikkan. Tapi aku tak mahu percaya yang itu kesan jatuh.

Petang tadi, aku berlegar di Jalan Pudu. Aku pitam – mungkin. Yang aku ingat, terakhir sekali penglihatan aku merekod imej ialah dibawah sebuah jejambat dengan tanah becak kerana hujan baru seriat. Dalam kesejukan dan gigil yang memaksa badan untuk mengalah dan luput terus pandangan semuanya, habis di situ.

Aku hanya sedar bila Amrul datang menemplak. “Tempat ini pun abang nak rampas dari saya?” kuat suaranya dalam nada yang benar-benar tak puas hati. Dalam sipi-sipi kelopak mata terbuka, aku dapat lihat susuk anak ini dengan tongkat dikepit dibawah ketiak kiri. Kaki yang sebelah lagi dikuisnya air keruh sampai ke muka aku yang masih terlantar.

Entah kenapa, aku langsung tak marah pada Amrul. Perlakuan itu kurang ajar. Tapi aku juga bukanlah sepatutnya mengjadi sang penghukum. Aku percaya dia ada hak dengan apa yang dia lakukan dan aku pula sama saja sepertinya. Aku biar, aku mula sedar dan aku bersandar pada dinding. Jam ditangan waktu itu pukul 6.43 petang dan tidak ada sesiapa pun selain Amrul yang perasan aku terjepuk ditempat itu dari pukul 3.27 petang.

* nanti sambung

apa-apa

•March 19, 2008 • Leave a Comment

Dia tak pernah sedar dari khayal. Tak pernah ambil pusing. Cuma, selalu jam tiga pagi, dia akan berseru. Memanggil-manggil entah siapa. Berjalan dalam tidur. Membuka bekas Planta dan selek pada roti. Kunyah. Itu semua berlaku tanpa sedar.

Dia cuba memikirkan tentang theism. Dia tak faham. Ada dua kemungkinan di sana; pertama mungkin akalnya terlalu lemah, tidak biasa untuk dikerah jauh-jauh. Kedua, konteksnya dia tak faham. Tinggallah dia di ceruk yang terlupa oleh cahaya itu seorangan tanpa sedar.

cerita dari jalan travers

•November 23, 2007 • Leave a Comment

Aku kerap membayangkannya. Adakala terbawa-bawa dalam mimpi. Tak pernah jemu-jemu pula, aku selalu berharap agar deria lihat aku mampu menyaksikan sendiri karya besar tersebut – sekurang-kurangnya bagi aku, ia sesuatu yang besar.

Ada jiwa yang sakit dan ada pula diri yang ego terlupa lantas kembang dada bila diperlakukan dan memperlakukan seperti itu.

Tabiat manusia, berlagak. Suka menunjuk-nunjuk dan tak dapat menerima kekurangan diri. Bagi mereka ini, ia satu penghinaan jika ada orang lain mendepani mereka. Walaupun sebetulnya, orang lain itu tidak berkehendakan yang demikian. Diri dari manusia bersalin menjadi binatang-binatang buas, mahu yang lain tunduk dan takut – bukan hormat.

Aku tak pernah puas dalam menggeluti jiwa mereka-mereka yang bangsat seperti ini. Aku tidak pernah faham pun ghairah mereka.

Harapan dan imajinasi aku datang acapkali ketika aku menunggang motosikal buruk aku. Bila nilai nyawa seperti diinjak-injak oleh si bangsat yang megah diri. Laju keretanya dipacu. Ketika pandangan dialihkan sedikit ke kanan, jelas susuk depan muka keretanya menghampiri betisku.

Paling kurang, jika dia mahu, patahkan sedikit saja sterengnya ke arah aku dan itu sudah cukup untuk aku menyembah bumi berlapik tar di situ.

Aku sakit hati, dalam betul rasa itu – pedih. Tidak bolehkah si bangsat ini bertimbang rasa waalu sedikit pun? Aku, dalam rasa aniaya itu terdetik hati kepada yang Maha Kuasa untuk menunjukkan di depan mata aku sendiri akan kekuasaannya. Jika aku betul teraniaya, tunjukkanlah sesuatu Tuhan.

Dalam kesakitan hati yang cukup sarat, aku lihat wajah si bangsat itu. Dengan gaya lagak dia membalas pandangan aku. Dia lupa, kakinya sedang mengikut rasa ego diri dan sedang menekan pedal minyak. Dia lupa, waktu itu trafik sesak dan dia juga lupa ada kuasa lain yang lebih besar daripada egonya itu.

Dalam pada kami saling berbalas pandang, api jiwa marak dan kemudian aku hanya mampu tersenyum. Harapan aku selama ini, walaupun jahat, aku rasakan semakin dekat untuk jadi nyata.

Seperti riaknya si bangsat itu, seperti itu hati aku harus berbunga beberapa detik ketika pengalaman itu sedang berlangsung. Senyum aku itu senyum sinis. 

Dia hampir satu meter dari kereta lain didepan. Satu nikmat muzik, visual dan emosi paling indah pernah aku rasakan.

“Strrreeeeeettttt…….. bangggg…fusssssss…”

Malam itu ada si bangsat diadili. Aku puas, hati berbunga-bunga.

ronggeng berselut kuning

•November 12, 2007 • Leave a Comment

Hari itu seolah mendapat keberkatan. Hujan tak henti-henti, bermula waktu menjelang tengah hari. Ada sesuatu yang besar akan terakam. Hari itu, Sabtu, bukan seperti yang biasa-biasa.

Nadi tengah Kuala Lumpur semacam terhenti. Dua hari sebelumnya – mungkin lebih – jalan raya dikawal ala era darurat. Sekatan sana-sini, pintu masuk ke kota besar materialistik itu dijaga rapi.

Aku, sebagai merasa tanggungjawab dan warga prihatin, tidak mahu tertinggal. Biar kecil pun sumbangan itu, sekurang-kurangnya ada kodrat untuk aku gagahi. Sepasang mata ini melempari panorama warna ‘kuning’ yang berkerumum di luar Masjid Negara – dari dalam tren LRT.

Sebentar tadi, di kaunter tiket stesen Bangsar, seorang tua penganut Kristian berngomelan seorangan. “Saya mahu ke gereja St. John, di mana saya patut turun?” Kesnya, stesen LRT tengah kota semuanya ditutup. “Ada rali di Dataran Merdeka. Saya tak boleh buat apa…” ujar si gadis penjaga kaunter.

Aku membeli tiket ke Dang Wangi. Waktu itu dalam pukul tiga lebih, mungkin hampir empat petang. Itu saja destinasi yang paling logik untuk ke Masjid Jamek. Jalan raya, seperti ada satu karya realiti yang besar dan nyata, semuanya sesak teruk. Kotak SMS pada telefon juga ada paket dari teman; “Ada 1K polis di KL, Hati-hati.”

Tak semena itu, orang muda ini terasa seperti seorang pejuang revolusi yang semua geraknya diperhatikan. Padahal niatnya hanya mahu mengeyertai perhimpunan aman bagi menunjukkan sokongan peribadi pada motif hari itu. ‘Tamatkan penipuan musim mengundi yang sudah berpuluh tahun membarah,’ mungkin itu yang sesuai untuk dingiangkan dalam kepala.

Jalan raya sekitar Masjid Jamek basah. Sebetulnya sebelum itu dihujani air rahmat dari langit. Tak lama juga ia menerima limpahan air kimia dari Unit Simpanan Persekutuan.

Tadi juga, ditempat sama menyaksikan antara lain, seorang pemberita Al-Jazeera turut disembur. Khabarnya habis merah-merah dan sakit orang bernama Hamish itu. Belum lagi termasuk warga tempatan yang lantang mahu dengan nyaring bersuara.

Kelompok demonstran di Masjid Jamek ini satu-satunya yang berjaya dihalang daripada bertembung dan memusatkan kuasa massa dengan mereka yang berada ditompok-tompok lain. Ada yang di Masjid Negara dan juga Central Market. Namun, induk massa yang mahu ke perkarangan Istana Negara mujur sampai – menyerahkan memorandum.

Di satu kisah yang lain, di Plaza Pudu, ada bas dari rombongan Terengganu ditahan. Polis dengan garau suara mengarahkan si pemandu berpatah balik dan pulang saja – jangan menyertai perhimpunan itu. Ya bas itu terpaksa balik dengan diiringi polis trafik. Yang indahnya, peserta rombongan terlebih dulu sudah diarah turun oleh ketuanya, menyambung perjalanan dengan berjalan kaki saja. “Nak balik pergilah balik. Dan polis sila iring bas ini sekali…” mungkin itu bayangan konversasi mereka dengan polis yang menahan. Apa lagi tindakan yang boleh diambil, getus si polis. Patut diiring saja bas kosong itu kembali ke daerah asalnya.

3.30 petang, khabarnya, DYMM Agong ada di dalam helikopter. Mahu melihat sendiri proses perakaman sejarah negara tersebut. Namun, bukan dia yang menyambut sendiri memo itu. Baginda yang mulia kembali semula ke Terengganu untuk memenuhi jemputan aktiviti kuda di sana.

Aduh. Betul-betul cantik dan bersahaja. Itulah tenaga yang kedua besarnya selepas Reformasi 98 dalam sejarah negara makmur bernama Malaysia. Massa seperti sudah tidak dapat menampung lagi beban jiwa, tidak mahu lagi menjadi sundal yang dipertunggangkan tiap malam oleh mereka yang punyai kuasa dan kepentingan peribadi dengan melacuri kepentingan umum.

Massa sudah bosan. Tidak hairan, makcik, pakcik, anak kecil, para isteri serta segelintir polis yang berkawal itu pun harus menyokong juga kebangkitan kesedaran itu. Akal fikiran sampai bila-bila pun tidak akan dapat dipenjarakan. Ia hanya boleh diilusikan serta dicandui. Tapi bila aroma stim ketagihannya hilang dan orang itu pulih semula, bersiaplah untuk menghadapi mereka di jalanan – satu sifat tulen idea demokrasi.

Berpencaklah jalan-jalan Kuala Lumpur, menjadi saksi keagungan bangsa yang tidak lagi mahu menjadi binatang peliharaan dan patung boneka yang dayus. Mereka tidak lagi boleh dibeli di kala harga hidup semakin meningkat.

Untuk ‘Hari Gelombang Kuning’ itu, syabas! Kepada mereka yang turut sama mengalir keringat dan tetes darah dijalanan . 

manifesto

•October 9, 2007 • 2 Comments

“Kau tak takut kena tangkap baca buku ni?” satu suara halus mula menggetar gegendang telingaku.

“Kenapa?” aku bertanya.

“Ini buku komunis, gila kau!” aku matikan rasa ingin tahu. Aku kini berdepan dengan seorang yang buta hati, bodoh dan bakal membiak malapetaka besar dalam masyarakat.

Di atas meja itu, sebuah buku tulisan Karl Marx sedang terpampang. Aku sedang asyik menelaah di pagi Ahad itu. Entah dari mana si bebal ini muncul. Aku tak kenal. Tetapi aku pasti, yang menarik perhatian dia adalah buku The Communist Manifesto yang aku baca.

“Kau baca buku ni… kau nak jadi komunis?” Aku menghadap soalan ini tanpa rasa apa-apa, tak terkata.

“Saudara, macam nilah. Aku tak kenal kau. Dan aku tak pernah tahu yang ada larangan membaca buku pun boleh dikenakan kepada mana-mana orang. Kalau ada, buku itu saja yang diharamkan, bukan orang yang diharamkan dari membacanya.”

Kata orang yang dalam lingkungan 40an itu, buku ini sesat. Buku ini boleh hasut orang untuk jadi komunis. Aku bertanya, apa yang dia faham perihal komunis. Jawapannya sungguh mengecewakan. Aku hanya ada dua pilihan, sama ada aku diam atau aku maki saja orang tua itu.

Untuk seketika, aku memilih untuk diam.

“Kalau ada seorang Cina yang Buddha, pegang Al-Quran dan baca, adakah orang itu nanti akan masuk Islam?” soalku ringkas dalam sayup suara.

“Tak semestinya.” jawab dia.

Jadi, aku tidak nampak apa-apa masalah pun untuk aku membaca manifesto tersebut. Orang itu bagi aku terperangkap di dalam keangkuhan dan kebodohannya sendiri.

Di dalam manifesto itu tidak ada pun frasa yang mengajak orang untuk menjadi komunis. Kata komunis dari orang ini aku sangat faham. Baginya, komunis yang tergambar adalah pejuang gerila yang mahu mengangkat senjata.

Jauh betul tahap pemikiran orang-orang di sini ketinggalan. Aku terkedu menelan kejahilan yang sedang aku depani ini. Aku hanya mampu berpesan kepada dia;

“Saya rasa elok kamu baca dulu buku ini – atau pun mana-mana buku. Luaskan pengetahuan sendiri. Nanti kamu akan sedar yang kamu itu bodoh.”

Sebelum dia mampu meninggikan suara dan marah aku, aku berlalu pergi dalam hiba mengenangkan orang-orang yang masih lagi takutkan bayangan sendiri.

Entah sampai bila, manusia ini mahu dibelenggu dalam kebingungan disebabkan gagal menggunakan akal dengan bijak.

semalam

•August 29, 2007 • Leave a Comment

Semalam, kami berdua-duaan. Aku tahu, dia tidak mahu begitu. Tapi entah bagaimana, itulah sebenarnya yang terjadi. Aku dan dia.

Sehari sebelum itu, dia sering bercakap hal-hal membunuh diri. Aku hanya mampu untuk merenung dalam-dalam matanya. Aku mahu dia tahu yang dalam dunia ini, masih ada lagi orang yang menyayanginya. Tapi kudrat dan keputusan semuanya ditangannya. Tuhan? Dalam soal dan situasi ini, aku tidak dapat mengagak pegangannya. Otaknya sudah jauh menerawang. Dan aku… apa yang aku lakukan adalah sedaya upaya menyedarkannya dan memberi tahunya – dalam bahasa halus – dunia masih ada untuknya.

Semalam aku bersyukur. Syukur kerana dia masih lagi ada bersamaku. Tapi, untuk berapa lama lagi dia disisiku, aku tidak tahu. Semua itu sudah tertulis. Dia sendiri percayakan itu. “Semua dalam hidup kita sudah tertulis… kamu percaya?” pernah beberapa kali dia bertanya kepadaku.

“Ya, aku yakin itu,” jawapanku setiap kali berdepan soalan itu. Dan, pernah sekali aku bertegas, berdepan juga dengannya sambil berkata bahawa membunuh diri, mengambil nyawa sendiri itu bukan yang tertulis. Ini kita yang sendiri memilihnya dan mahu ia ditulis. Dia marah. Tapi selang beberapa saat, dia murung dan terus bingung. Dia sebenarnya tidak tahu apa-apa untuk membuat pertimbangan dalam situasi itu.

Dalam samar-samar malam tadi, dia akhirnya memecah kebuntuan. “Tuhan di mana?” ayat yang tenang aku sambut. Aku bertanya kembali, “Tuhan itu apa?” Dia, seperti biasa, kelu.

Aku tahu dia tidak tahu. Dia betul-betul dipersimpangan. Tetapi simpang tempat dia berdiri itu bagiku adalah simpang syaitan. Dia sudah dikaburi dengan ketidakfahamannya, lalu mahu melulu amok serata sekeliling.

“Kamu kalau tak dapat mencari jawapan untuk soalan saya tadi, jangan bunuh diri.” tegasku dengan nada yang kelam. “Mengapa?” dia bingung. “Sebab kamu tidak tahu apa-apa. Dan kamu cuba membuat keputusan yang paling tidak punyai asas. Saya tak kisah kalau kamu betul-betul nak bunuh diri, tapi cari dulu jawapan-jawapan yang muncul dan terbit berkaitan hidup dan keputusan kamu itu,” suaraku juga sayup-sayup garang menerjah kuping telinganya.

Dia terdiam. Aku pun diam. Kami senyap untuk beberapa ketika.

Sebenarnya, yang cuba aku lakukan semalam adalah untuk membuatkan otaknya – atau memaksa – dia berfikir. Kebangsatan paling tinggi pada bangsaku dari kaca mataku adalah kemalasan untuk menggunakan akal fikiran secara sihat. Semalam, aku sendiri terkepong dengan ‘upacara sembah syaitan’ oleh dia. Ya, dia cantik, teramat cantik… dan mungkin satu-satunya perempuan yang aku mahu cintai. Tetapi, dia betul-betul nak ikut syaitan. Ini juga yang sering aku persoalkan, kebodohan beragama yang semakin menular dalam dunia Islam dan anak bangsaku sendiri.

“Kamu Islam?” tanyaku selepas sunyi itu. “Ya.” ringkas gerak bibirnya. Eloklah, tapi aku sendiri tidak tahu di mana tahap Islam yang dia dan aku ada. Sekadar sebagai seorang hamba, aku mahu dia waras semula. Aku bukan suci untuk bercakap banyak tentang agama. Tapi, aku bukan buta untuk membaca dan memahami kemerengan dunia yang ada di depanku.

Entahlah, untuk sehari semalam, aku mampu menghindarkan dia dari matlamat matinya itu. Hari ini aku belum lagi berjumpanya. Mungkin masih bernafas, mungkin sudah mati atau mungkin juga sedang nyawa-nyawa ikan dalam azab.

keinginan yang memuncak

•July 3, 2007 • Leave a Comment

Aku, Amien Hamzah. Panggil saja Amien. Jiwaku kini bergejolak. Entah sebab apa. Tapi yang pasti jiwa itu tidak tenteram. Bukan tidak pernah, tapi jarang-jarang tenteram dan sunyi.

Aku selalu bertanya pada sekeliling, mahu mereka menjawab persoalan yang muncul mencurah-curah dari dalam diriku. Hidup untuk apa? Itu yang paling besar soalanku, tidak pernah cuba dijawab oleh siapa-siapa pun. Dan jika dijawab, ia akan hanya menampakkan yang diri si penjawab itu bodoh.

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.